Berusia... Kawan, Kerja atau Keluarga?
Satu masa dahulu, saya fikir saya boleh ada semuanya. Bangun awal pagi untuk ke tempat kerja, balik malam masih boleh keluar minum dengan kawan, dan hujung minggu pula penuh aktiviti dengan keluarga. Hidup rasa penuh, kadang-kadang penat, tapi puas. Tapi itu cerita dulu. Cerita waktu umur belum banyak angka, waktu tenaga rasa macam tak pernah habis.
Sekarang, saya sedar… usia ini mengajar saya satu persatu tentang memilih. Bukan kerana kita cerewet, tapi kerana kita mula sedar – masa itu tak banyak mana. Kita tak boleh beri semuanya kepada semua orang. Dan kalau kita cuba juga, akhirnya kita yang kosong.
Tentang kerja…
Saya masih suka bekerja. Saya mungkin antara yang pelik – tak rasa Monday blues, tak rasa nak cepat pencen. Saya suka rasa produktif, rasa berguna. Bila tengok hasil kerja dihargai, bila dapat bantu orang melalui kerja saya, hati jadi lapang. Bekerja tu seakan satu bentuk ibadah – selagi niat betul dan cara betul.
Tapi bezanya sekarang, saya bekerja bukan untuk ‘menang’ dalam apa-apa perlumbaan. Saya pernah masuk fasa itu – nak naik pangkat cepat, nak dikenali, nak buktikan sesuatu. Tapi lepas satu tahap, saya sedar semua itu tak kekal. Hari ini kita naik, esok mungkin orang lain ambil tempat kita. Hari ini kita diberi pujian, esok mungkin kita dilupa.
Jadi sekarang, saya kerja sebab saya suka. Saya kerja sebab saya tahu ada orang bergantung pada hasil titik peluh ini. Tapi bila jam dah masuk 6 petang, saya cuba berhenti. Cuba tinggalkan kerja di pejabat. Saya tak mahu bawa beban ke rumah. Sebab saya tahu, senyuman anak di pintu lebih berharga dari semua e-mel yang belum dibalas.
Tentang kawan…
Kawan pula satu bab yang saya ambil masa lama untuk hadam. Masa kita muda, kawan tu macam segala-galanya. Boleh tidur rumah mereka, lepak sampai pagi, berkongsi rahsia paling peribadi. Tapi bila dah berusia, hubungan tu berubah. Bukan sebab kita tak sayang mereka, tapi masa dan situasi hidup dah berbeza.
Saya perasan, makin lama makin jarang kita bertanya khabar. Kadang-kadang cuma balas story di Instagram, atau beri emoji di status WhatsApp. Ada yang dulu rapat, sekarang tak tahu pun mereka duduk di mana. Mula-mula rasa bersalah, rasa jauh. Tapi lama-lama, saya sedar… ini fasa hidup. Setiap orang sedang sibuk bertahan dengan dunia mereka sendiri.
Dan saya pun sama. Ada waktu saya rindu sangat nak lepak sembang kosong dengan kawan-kawan lama. Rindu suara gelak ketawa yang tak hirau masa. Tapi bila fikir balik – siapa ada masa sekarang untuk lepak 3 jam tanpa gangguan? Telefon berbunyi, anak menangis, kerja masuk – semua tu hal biasa sekarang.
Tapi saya bersyukur, walaupun kawan dah tak ramai macam dulu, saya masih ada beberapa yang setia. Yang walaupun lama tak jumpa, bila jumpa semula, masih boleh sambung sembang seolah tak pernah berhenti. Itu yang saya hargai sekarang – kawan yang faham, bukan yang berkira masa. Kawan yang hadir bila perlu, walau tak selalu nampak depan mata.
Dan akhirnya... keluarga.
Keluarga, seperti biasa, tetap keutamaan. Makin berusia, makin kita sedar – inilah tempat paling jujur menerima kita. Mereka tak kisah berapa gaji kita, pangkat apa kita pegang, atau siapa kawan kita. Mereka cuma mahu kita pulang dengan selamat, makan cukup, dan tidur lena.
Saya selalu ingatkan diri – kerja boleh diganti, tapi masa bersama keluarga tak boleh diulang. Anak tak akan kecil semula. Ibu bapa tak akan muda semula. Pasangan kita pun ada had sabarnya kalau kita selalu ‘tiada’ walaupun jasad ada.
Sebab itu sekarang saya belajar perlahan-lahan: hidup bukan tentang mencukupkan semua orang. Ia tentang mencukupkan orang yang paling penting dalam hidup kita – termasuk diri sendiri.
Berusia bukan satu kehilangan, tapi satu proses menyaring. Menyaring siapa yang tinggal bila dunia kita makin sempit. Menyaring apa yang penting bila masa makin singkat. Menyaring keinginan – agar kita tak sibuk mengejar, sampai lupa menikmati.
Saya masih suka bekerja. Saya masih sayang kawan-kawan. Tapi saya tahu, bila semuanya ditimbang, keluarga tetap tempat saya kembali.
Dan mungkin... itu tandanya saya benar-benar sedang berusia.
Comments
Post a Comment