Kerusi Kita Ramai Boleh Duduk, Tapi Hidup Kita Siapa Nak Ganti?

Asslamualaikum dan salam pemirsa teman-teman. Rasanya sekarang ni pengurusan masa saya agak teruk dalam memastikan sekurang-kurangnya 1 bulan 1 perkongsian. Ada idea tp x sempat menulis. Ada masa, tak ada idea pulak. Kesan umur semakin meningkat barangkali. Terdetik satu pengalaman yang saya lama nak kongsikan. Disokong pula dengan pertemuan dengan sahabat lama juga menjadikan kerjaya dan karier sebagai topik perbualan panjang. Terkesan, insaf dan tersedar.




Kerja biar bersungguh, tapi jangan sampai lupa untuk siapa kita bekerja.

Ada seorang kawan saya ni. Kalau bab kerja, memang saya tabik spring la dengan dia.

Bukan jenis kerja sekadar nak cukup syarat. Bukan juga jenis yang sibuk nak tunjuk muka depan bos. Kalau dia buat sesuatu kerja tu, memang dia buat bersungguh-sungguh. Kadang-kadang sampai lupa masa, lupa makan, lupa nak berehat.

Bagi dia, kerja bukan semata-mata nak dapat nama, pangkat atau pujian. Tapi lebih kepada kepuasan diri. Bila sesuatu kerja tu berjaya disiapkan dengan baik, itu dah cukup menggembirakan dia.

Orang putih kata job satisfaction.

Dia bukan jenis yang berkira sangat pasal masa. Kalau kerja belum siap, dia akan usahakan sampai siap. Kadang-kadang dah habis waktu pejabat pun masih lagi bekerja.

Pendek kata, memang komited habis la. Adakalanya keluarga dah jadi keutamaan kedua. Tapi tak la sampai lupa muka anak.

Tapi itulah...

Kadang-kadang hidup ni akan ajar kita sesuatu yang tak pernah diajar dalam mana-mana kursus atau seminar motivasi.

Sampailah satu hari, dia ditimpa kemalangan.

Bila berlaku kemalangan, tentulah ada perkara yang berubah. Kesihatan, kemampuan fizikal dan rutin harian. Benda yang sebelum ni boleh dibuat dengan mudah, tiba-tiba jadi terbatas.

Dalam keadaan macam tu, dia menerima panggilan daripada pihak majikan.

Saya ingatkan panggilan tu nak bertanya khabar. Maklumlah, orang yang selama ni banyak menyumbang kepada organisasi sedang diuji.

Rupa-rupanya antara perkara yang ditanya ialah sama ada dia masih boleh bekerja atau tidak. Pehhh. Seakan satu letupan berlaku kat kepala...

Mungkin pada pihak majikan, soalan tu sekadar nak tahu keadaan sebenar untuk tujuan pengurusan kerja. Tak salah pun sebenarnya.

Tapi pada orang yang sedang diuji, soalan yang sama boleh membawa seribu satu makna.

Di situlah dia mula berfikir.

Selama ni aku bekerja bersungguh-sungguh. Berkorban masa dan tenaga. Kadang-kadang masa bersama keluarga pun terpaksa diketepikan.

Tapi bila aku dah tak mampu memberikan komitmen seperti dulu, adakah aku masih diperlukan?

Rupa-rupanya, kita ni diperlukan selagi kita masih mampu menyumbang. Bila kudrat dah tak ada, organisasi tetap perlu berjalan.

Dan memang itulah realiti dunia pekerjaan.

Tak kira sehebat mana pun kita, suatu hari nanti tetap akan ada orang lain yang mengambil alih tugas kita.

Kerusi kita, orang lain boleh duduk.

Meja kita, orang lain boleh guna.

Bilik kita, orang lain boleh masuk.

Jawatan kita, orang lain boleh sandang.

Hari ni mungkin nama kita terpampang pada pintu bilik. Esok lusa, nama orang lain pula.

Organisasi tetap berjalan seperti biasa.

Mungkin ada yang terasa kehilangan kita. Mungkin ada yang mengenang jasa. Mungkin ada yang memang mengintai tempat kita, mungkin ada yang tak kisah keberadaan kita, mungkin ada yang tersenyum bila tiada. Banyak kemungkina... Tapi akhirnya kerja tetap perlu diteruskan.

Apa pun kemungkinan tu percayalah ada empat perkara yang orang lain tak boleh ambil begitu sahaja daripada diri kita. Mungkin sama tapi mustahil serupa. 

Skill. Mindset. Attitude. Character.

Kemahiran yang kita bina bertahun-tahun. Cara kita berfikir apabila berdepan masalah. Sikap kita terhadap amanah dan tanggungjawab. Dan karakter yang terbentuk melalui pengalaman hidup.

Semua tu bukan datang bersama kerusi empuk, bilik besar atau jawatan yang tertulis pada kad nama.

Itu milik kita.

Orang boleh ambil alih jawatan kita, tapi belum tentu boleh mengambil alih nilai yang ada pada diri kita.

Bila akhirnya dia mula berubah...

Selepas kejadian tu, kawan saya mula melihat pekerjaan daripada sudut yang berbeza.

Dia masih bekerja. Masih melaksanakan tanggungjawab. Masih memberikan yang terbaik.

Cuma bezanya, dia dah mula meletakkan sempadan.

Masuk kerja ikut waktu. Balik pun ikut waktu.

Bila dah habis waktu pejabat, dia cuba memberikan masa kepada perkara yang selama ni mungkin selalu mendapat baki-baki perhatian.

Keluarga. Seperti mahu membalas kisah masa lalu...

Sebab akhirnya dia sedar, apabila kita sakit atau tidak berdaya, bukan kerusi pejabat yang akan menjaga kita.

Bukan meja mesyuarat yang akan menemankan kita.

Dan bukan fail-fail yang bertimbun tu yang akan bertanya sama ada kita dah makan ubat atau belum.

Keluarga jugalah yang ada.

Kadang-kadang kita ni terlalu sibuk mengejar sesuatu yang tak pernah habis.

Satu kerja siap, datang kerja lain.

Satu mesyuarat selesai, ada mesyuarat berikutnya.

Satu KPI tercapai, tahun depan KPI naik lagi.

Tak salah pun. Memang itu sebahagian daripada tanggungjawab kita.

Cuma jangan sampai kita terlalu sibuk membina kejayaan di tempat kerja, tetapi tanpa sedar mengabaikan kehidupan sendiri.

Kerja itu penting. Tapi kerja bukan segala-galanya.



Tapi jangan pula salah faham...

Bila saya cerita pasal pentingnya keseimbangan kerja dan keluarga, bukan bermaksud kita boleh ambil mudah tentang tanggungjawab.

Ini satu lagi cerita.

Saya tengok ada juga segelintir orang yang memang hebat bab menjaga waktu bekerja.

Punch card pukul 8.00 pagi.

Balik pukul 5.00 petang.

Rekod kehadiran? Memang cantik. Kalau tengok atas kertas, tak ada masalah langsung.

Cukup masa. Cukup jam. Cukup syarat.

Tapi kalau dikira betul-betul masa yang digunakan untuk buat kerja, entah-entah dua jam sahaja.

Selebihnya?

Entahlah.

Mungkin sibuk bersembang. Mungkin sibuk dengan telefon. Mungkin sibuk membincangkan hal orang lain.

Yang menariknya, golongan macam ni kadang-kadang paling kuat mengeluh.

Kerja banyak sangat.

Bos tak faham.

Organisasi tak menghargai.

Dia seorang sahaja yang sibuk.

Dia seorang sahaja yang tahu buat kerja.

Orang lain semuanya tak betul.

Haaa... yang ni pun satu hal juga.

Bila bercakap, dialah terpaling sibuk. Terpaling pandai. Terpaling banyak menyumbang.

Tapi bila tengok hasil kerja, tak adalah sehebat mana pun.

Saya bukan kata semua orang macam tu. Ramai sahaja yang bekerja dengan jujur dan bersungguh-sungguh dalam waktu pejabat.

Dan bukan semua kerja boleh diukur dengan bilangan fail yang disiapkan atau berapa lama seseorang menghadap komputer.

Ada kerja yang memerlukan pemikiran, perancangan, perbincangan dan penyelesaian masalah.

Cuma persoalannya, kalau kita dibayar untuk bekerja lapan atau sembilan jam sehari, berapa banyak daripada masa itu benar-benar kita gunakan untuk melaksanakan amanah?

Kalau kita begitu teliti mengira setiap minit kerja lebih masa yang patut dibayar, sepatutnya kita juga jujur mengira masa bekerja yang telah dibayar kepada kita.

Gaji yang masuk setiap bulan tu bukan sekadar bayaran kerana kita berjaya hadir ke pejabat.

Ia bayaran untuk amanah dan tanggungjawab yang kita pikul.

Janganlah terlalu berkira dengan organisasi, sedangkan kita sendiri belum tentu memberikan apa yang sepatutnya.



Jadi, macam mana sebenarnya nak bekerja?

Pada saya, tak perlu terlalu ekstrem.

Tak perlu bekerja sampai mengorbankan kesihatan dan keluarga semata-mata nak membuktikan kita seorang pekerja yang hebat.

Tapi jangan pula menggunakan alasan work-life balance untuk menghalalkan sikap sambil lewa.

Datang kerja, buatlah kerja dengan sebaik mungkin.

Kalau diberi amanah, laksanakan dengan jujur.

Kalau ada masalah, cuba selesaikan.

Kalau tak tahu, belajar.

Kalau orang lain lebih pandai, tak perlu rasa tercabar.

Dan kalau dah habis waktu bekerja, belajarlah untuk menikmati kehidupan di luar pejabat.

Balik rumah, luangkan masa dengan keluarga.

Tanya khabar anak-anak.

Dengar cerita pasangan.

Jaga kesihatan.

Buat perkara yang kita suka.

Sebab masa yang berlalu tu tak boleh dibeli semula dengan gaji, pangkat atau anugerah pekerja cemerlang.

Saya percaya, pekerja yang baik bukan semestinya orang yang paling lewat balik dari pejabat.

Dan pekerja yang rajin juga bukan semestinya orang yang paling kuat bercerita tentang kesibukannya.

Kadang-kadang orang yang paling banyak menyumbang ialah orang yang diam-diam menyelesaikan kerja tanpa perlu satu pejabat tahu betapa sibuknya dia.

Akhirnya...

Cerita kawan saya tadi banyak mengajar saya tentang kehidupan.

Kita boleh sayangkan kerja. Kita boleh bangga dengan organisasi. Kita boleh memberikan komitmen yang tinggi.

Tapi jangan sampai kita terlupa bahawa kita juga ada kehidupan yang perlu dijaga.

Majikan ada tanggungjawab memastikan organisasi terus berfungsi. Pekerja pula ada tanggungjawab melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Kedua-duanya perlu saling menghargai.

Cuma satu perkara yang kita kena ingat.

Kita mungkin boleh diganti di tempat kerja, tetapi peranan kita dalam keluarga tidak semudah itu boleh diganti.

Pada akhirnya, bukan berapa besar bilik kita, berapa tinggi jawatan kita atau berapa banyak mesyuarat yang kita hadiri yang paling bermakna.

Tetapi bagaimana kita menjalani kehidupan, melaksanakan amanah dan menghargai orang yang sentiasa ada bersama kita.

Jadi, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.

Bukan kerana nak dipuji.

Bukan kerana nak dilihat hebat.

Tetapi kerana kita dibayar untuk melaksanakan amanah.

Dan bila tiba masanya untuk pulang, pulanglah dengan hati yang tenang.

Sebab di luar pejabat, ada kehidupan yang jauh lebih besar nilainya.

Kerja jangan sampai mati. Tapi masa kerja, jangan buat-buat mati.

Hehehe...

Sekadar berkongsi cerita dan peringatan untuk diri sendiri juga.

Lepas ni kita cari masa utk kongsikan pengalaman sebenar kaki jilat pulak... hehehe

Chau cin cau... tata

Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

CCC: ANTARA BUKU DAN AMALAN

DORAEMON.... Sejarah kartun yang kartun...

Sama tapi x serupa... UP sebelum bacaan ikrar....